Tuesday, June 17, 2008

SEJARAH PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN SMJK HWA LIAN

SEJARAH PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN SMJK HWA LIAN, MENTAKAB, PAHANG DM ( 1958 HINGGA 2008 )

A. Pendahuluan :

Penubuhan SEK. MEN. J/K HWA LIAN MENTAKAB pada 08.01.1958 pada asalnya merupakan sebuah sekolah menengah swasta. Ia ditubuhkan untuk membolehkan murid-murid yang tamat persekolahan darjah enam di sekolah rendah Cina tempatan agar dapat melanjutkan pelajarannya ke sekolah menengah ketika itu.
Sebelum ini, murid-murid sekolah Cina yang tamat pelajarannya di peringkat persekolahan rendah terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur, Ipoh atau Singapura untuk melanjutkan pelajaran mereka kerana tidak ada kemudahan sekolah menengah di kawasan sekitar Mentakab. Bagi keluarga yang miskin, mereka tidak mampu menghantar anak mereka ke bandar-bandar tersebut dan anak mereka terpaksa berhenti persekolahannya.

B. Projek Pembinaan Bangunan 1956 - 1958

Atas kesedaran ingin memberi kemudahan melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat sekolah menengah, satu Jawatankuasa Kutipan Derma yang diketuai oleh Dato Ngau Ken Lock telah ditubuhkan pada tahun 1956 untuk mengutip derma bagi Tabung Pembangunan sebuah sekolah menengah. Kempen mengutip derma ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk-penduduk tempatan kerana mereka ingin anak mereka melanjutkan pelajaran sekolah menengah di bandar Mentakab.
Di samping itu, terdapat juga beberapa badan sukarela tempatan seperti Kelab Belia Mentakab, Persatuan Murid-Murid Sekolah Rendah Chung Hwa Mentakab dan Pertubuhan-Pertubuhan Sosial Temerloh turut terlibat dalam kempen kutipan derma tersebut dengan mengadakan Malam Amal Pertunjukkan Kebudayaan.
Sek. Men. Hwa Lian Mentakab diwujudkan secara rasminya pada 08.01.1958 merupakan sebuah sekolah menengah swasta. Sekolah tersebut masih tidak mempunyai sebarang kemudahan fizikal seperti bangunan sekolah yang konkrit pada sesi persekolahan awal. Pelajar Sek. Men. Hwa Lian yang berjumlah 111 orang terpaksa belajar dengan menumpang di Sekolah Rendah Chung Hwa dan tenaga pengajarnya hanyalah seramai 5 orang di bawah pengelolaan Pengetua yang pertama, En. Wong Ku Yoke.
Pada bulan Mei , 1958, Jawatankuasa Kutipan Derma Sek. Men. Hwa Lian Mentakab berjaya membeli sebidang tanah seluas 5 ekar di Batu Satu, Jalan Karak dan ditambah keluasan tanah sehingga 8 ekar pada tahun berikutnya. Kerja-kerja pembinaan bangunan sekolah telah dimulakan sejak 1958.
Kerja-kerja pembinaan 2 blok bangunan sekolah yang mengandungi 9 buah bilik darjah hanya disiapkan pada penghujung tahun 1960. Akbatnya, pelajar Sesi Persekolahan 1958 hampir menghabiskan tempoh persekolahan menengah mereka dengan menumpang di Sekolah Rendah Cina Chung Hwa semata-mata. Mereka cuma dapat belajar di bangunan baru di Sek.Men. Hwa Lian selama 2 bulan sahaja.
Namun, kewujudan sekolah ini pada 1958 telah membolehkan pelajar yang miskin berpeluang melanjutkan pelajaran persekolahan menengah mereka ketika itu.

C. Projek Pembinaan Bangunan 1961-1982

Sekolah ini kemudiannya bertukar daripada sebuah sekolah menengah swasta kepada sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Bantuan Modal pada tahun 1961. Sekolah berupa Sekolah Menengah Bantuan Modal telah mendapat peruntukkan kewangan daripada pihak kerajaan untuk membina sebuah perpustakaan, makmal sains dan kantin.
Berikutan daripada itu, atas daya usaha En. Tan Meng Chua JP, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah ketika itu, pihak sekolah telah mendapat peruntukan dari kerajaan berjumlah RM80,000 untuk membina sebuah padang permainan yang terletak di sebelah kanan bangunan sekolah. Atas sumbangan orang ramai, sekolah ini terus berkembang dengan bertambahnya 3 buah bilik darjah, sebuah pejabat, sebuah bilik stor dan sebuah tandas pada tahun 60an.
Pada tahun 1979, bilangan pelajar di sekolah ini telah meningkat ke 1000 orang . Bilik darjah yang sedia ada itu sudah tidak lagi mencukupi untuk menampung pertambahan bilangan pelajar. Dengan ini, Lembaga Pengelola sekolah telah mengambil keputusan untuk membina sebuah bangunan tambahan tiga tingkat dengan wujudnya 6 buah bilik darjah dan sebuah perpustakaan yang baru.
Atas daya usaha Lembaga Pengelola di bawah pimpinan En. Yap Yuen, JP dan Datuk Goh Boon Hiong JP, Projek Pembinaan Bangunan tersebut mendapat sambutan hangat daripada PIBG sekolah, Persatuan Murid-Murid Tua sekolah, Kumpulan Tarian Singa Mentakab, Kelab Rotary dan orang ramai dari semua lapisan masyarakat.
Di samping itu, dengan pertolongan mendiang Dato' Chan Siang Sun, Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, pihak kerajaan telah meluluskan bantuan sebanyak RM80,000 untuk menjayakan projek pembinaan tersebut. Projek ini disiapkan pada tahun 1982 atas sumbangan dana orang ramai dan kerajaan.

D. Projek Pembinaan Bangunan 1994

SMJK Hwa Lian Mentakab terus menggunakan kemudahan bangunan sekolah yang sedia ada untuk 10 tahun berikutnya tanpa projek pembinaan yang baru. Namum pelajar sekolah ini yang kian bertambah menimbulkan masalah kesesakan ruang bilik darjah.Oleh yang demikian, Lembaga Pengelola sekolah di bawah pimpinan En. Yap Yuen JP telah mengambil inisiatif utnuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pembinaan Bangunan Sekolah yang melibatkan AJK Lembaga Pengelola, PIBG sekolah, Persatuan Murid-murid Tua dan tenaga pengajar SMJK Hwa Lian Mentakab pada 1994.
Projek Kutipan Derma utama pada tahun 1994 ialah penganjuran Persembahan Amal 10 Penyanyi Pilihan Malaysia anjuran Nanyang Siang Pau. Usaha gigih tersebut berjaya mengutip RM450,000 untuk Projek Pembinan 2 blok bangunan ( Blok A & Blok B ) yang mengandungi 24 buah bilik darjah. Di samping itu, Tayangan Perdana dan Majlis Jamuan Malam Kutipan Derma turut diadakan. Atas usaha dan bantuan Dr. Fong Chan Onn, Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, pihak sekolah juga mendapat peruntukkan sebanyak RM 60,000 daripada pihak kerajaan.
Projek Pembinaan Bangunan 1994 tersebut menelan kos sebanyak RM520,000 dan membolehkan pelajar belajar dalam keadaan yang lebih selesa lagi. Pengetua ketika itu, En Hoh Ah Chong amat berterima kasih kepada semua pihak yang turut memberi sumbangan dalam Projek Pembinaan 2 blok bangunan tersebut.

E. Projek Pembinaan Bangunan SMJK Hwa Lian Mentakab Fasa Pertama ( 2002 – 2004 )

SMJK Hwa Lian Mentakab berpuashati dengan kemudahan bangunan yang sedia ada sehingga 2002. Pada 23 Jun 2002, Mesyuarat Agung Penaja Sekolah telah diadakan dan Jawatankuasa Lembaga Pengelola Baru di bawah pimpinan En Lim Yak Phang berjaya diwujudkan.
Jawatankuasa Lembaga Pengelola ( 2002 – 2004) telah merancang pelan pembinaan bangunan sekolah dengan rapi untuk menampung keperluan pelajar yang kian bertambah sehingga 1400 orang dan menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih selesa kepada semua pelajar dalam jangka masa panjang.
Projek Pembinaan Bangunan Fasa Pertama berjaya mewujudkan sebuah Dewan Serbaguna ( Dewan Xiang Gui ) dan 2 Blok Bangunan yang mengandungi 32 buah bilik darjah ( Blok C & Blok D ). Projek berkenaan siap pada 31 Disember 2003 dan menelan belanja RM3.16 juta. Pengetua ketika itu ialah En Koh Kah Saing.
Dato’ Ng Leong Hai mengetuai Projek Pembinaan Bangunan Fasa Pertama dan kutipan derma yang terbesar berjaya dikutip (RM3.16 juta ) atas sumbangan orang ramai dan dermawan mayarakat tempatan.

F. Projek Pembinaan Bangunan SMJK Hwa Lian Mentakab Fasa Kedua ( 2005 – 2006 )

En Lim Yak Phang terus memimpin Jawatankuasa Lembaga Pengelola SMJK Hwa Lian Mentakab ( 2005– 2007) dan melancarkan Projek Pembinaan Bangunan SMJK Hwa Lian Mentakab Fasal Kedua pada 16 Jun 2005. Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Mentakab, YB En Chuah Boon Seong dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Projek Pembinaan Banguna Fasa Kedua ini.
Hasilnya, satu blok bangunan Makmal Sains dan satu blok bangunan 3 tingkat yang mengandungi 15 buah bilik darjah berjaya diwujudkan pada bulan Julai, 2006. Semua pelajar gembira belajar di bangunan yang serba indah dan baru.

G. Projek Pembinaan Bangunan SMJK Hwa Lian Mentakab Fasa Ketiga ( 2007 – 2008 )

Jawatankuasa Lembaga Pengelola SMJK Hwa Lian Mentakab ( 2007– 2009 ) di bawah pimpinan En Lim Yak Phang terus melancarkan Projek Pembinaan Bangunan SMJK Hwa Lian Mentakab Fasa Ketiga pada bulan Oktober 2007. Sekali lagi , Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Mentakab, YB En Chuah Boon Seong diamanahkan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Projek Pembinaan Bangunan Fasa Ketiga ini.
Perancangan Projek tersebut ialah pembinaan satu blok bangunan Kemahiran Hidup dan sebuah Dewan Kuliah yang dijangka menelan belanja RM1.2 juta. Kini, satu blok bangunan Kemahiran Hidup berkenaan telah siap dibina.
Satu Jawatankuasa Kerja Jamuan Amal Ulangtahun Ke-50 SMJK Hwa Lian Mentakab di bawah pimpinan En Lin Ngon ditubuhkan khas untuk mengutip derma untuk Tabung Pembinaan Projek Pembinaan Bangunan Fasa Ketiga ini.
Jamuan Amal Ulangtahun Ke-50 SMJK Hwa Lian Mentakab yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Pelajaran Malaysia YB Ir Dr. Wee Ka Siong pada 23 Ogos 2008 ( Sabtu ) jam 7.00 malam di Padang Besar SMJK Hwa Lian Mentakab disasarkan untuk mengutip derma sebanyak RM1 juta.
Dijangka Projek Pembinaan Bangunan Fasa Ketiga ini siap pada penghujung tahun 2008 atau awal tahun 2009. Anak murid yang kini seramai 1872 orang itu akan menikmati segala kemudahan fizikal yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengelola SMJK Hwa Lian Mentakab dan para dermawan yang disanjung tinggi.
Pengetua SMJK Hwa Lian Mentakab, En Siew Yoon Yaw merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan semua Projek Pembinaan Bangunan sejak sekolah ini ditubuhkan.

Disediakan oleh
Jawatankuasa Lembaga Pengelola SMJK Hwa Lian Mentakab.

No comments:

Post a Comment

欢迎发表意见!